Thursday, July 21, 2011

USRAH, dimulakan dengan tasbih Kaffarah

Satu malam yang dingin. Sejuk.

Malam yang menemukan saya dengan beberapa orang kawan baru. Saya baru di tingkatan empat ketika itu di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Ada satu waktu yang memang ditetapkan oleh pihak sekolah untuk usrah atau dalam kata lain grup studi berkaitan Islam. Dan pada malam itu kami dibahagikan ke dalam usrah.
Mentor usrah saya atau kami panggil ‘naqib’ pada malam itu lengkap memakai serban. Kemas. Dia memulakan usrah dengan beberapa tazkirah ringkas dan penerangan tentang rukun usrah yang tiga itu – Taaruf, tafahum, takaful.
Mata saya mula kemerahan. ‘Ah, Benda sama lagi!’
“Baiklah, sebelum abang mengakhiri usrah ini, abang suka hendak memberitahu kamu semua tentang apa itu usrah bagi abang.”
Naqib saya itu kemudian menyambung, “Usrah itu bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan Al-Fatihah!”
Saya yang sedari tadi berasa mengantuk, terus segar kembali mendengar ayat tersebut. Kebiasaannya usrah dimulakan dengan surah Al-Fatihah sebagai pembukaan dan kemudian apabila selesai, kami semua akan membaca tasbih kafarah beramai-ramai.
Apabila dia berkata demikian, ia membawa maksud usrah bagi dia bukanlah pada waktu atau sesi yang ditetapkan itu. Usrah itu adalah di luar waktu
“Betul ke bang?” Saya tersenyum memandang wajah naqib saya itu. Timbul beberapa idea nakal dalam kepala.
Dia mengangguk.
Usrah bermula dengan tasbih kafarah
Sebulan selepas itu, saya mula menilai adakah naqib saya betul-betul mengotakan kata-katanya itu. Pada waktu itu saya dipilih untuk menyertai unit multimedia sekolah yang memang terkenal dengan kesibukannya.
Beberapa minggu mendatang saya mula tidak datang usrah. Kadang ada juga masa lapang tapi saya buat-buat sibuk juga.
“Azree, kenapa dah lama tidak datang waktu usrah?” soal naqib saya suatu petang.
“Eh, kan abang yang kata usrah itu bermula dengan tasbih kafarah? Saya selalu saja jumpa ahli usrah yang lain,” usik saya.
Muka naqib saya kelihatan merah. Dia tersenyum seketika.
“Ha, betul… betul… Kalau macam itu mari duduk berbual dengan abang sekejap.”
“Tak apalah bang. Saya ada kerja multimedia kena siapkan untuk esok pagi. Saya pergi dulu ya bang.” Saya mencari alasan dan berlalu dari situ.
Begitulah kisah saya semasa di sekolah dahulu. Penentang senyap Badan Dakwah dan Rohani(BADAR). Apa yang mereka larang, itulah yang saya buat.
Solat dalam bilik, tidak memakai kopiah apatah lagi serban, ponteng solat berjemaah, ponteng beberapa program penting untuk pembinaan diri, ponteng usrah, ponteng qiyamullail, ponteng kelas tadarus Quran, dan bermacam-macam ponteng lagi.
Tapi sekadar suka ponteng program sahaja.

Usrah di PLKN
Sebaik habis SPM, saya terpaksa menyertai Program Latihan Khidmat Negara(PLKN). Ramai orang kata program ini merosakkan akhlak dan sebagainya. Saya kemudian telah menetapkan sesuatu dalam minda, ‘Rosak macam mana pun, aku tak akan terpengaruh!’
Selepas dua minggu di dalam kem dengan jadual aktiviti yang padat sampai ke malam, saya mula mencari beberapa orang kawan yang kerap saya temui di surau. Kebiasaannya aktiviti pada waktu malam sedikit longgar. Jadi, saya mengajak kawan baru itu untuk ponteng aktviti malam.
“Kita buat usrah!” kata saya kepada mereka.
“Boleh ke ponteng aktiviti malam?”
“Jangan risau, aku dah biasa dengan perkara-perkara macam ini,” saya cuba memujuk mereka.
Aktiviti malam kadang-kadang ada sedikit kami perlu bersosial.
“Apa yang akan dibincangkan dalam usrah? Kita bukannya ada modul atau buku agama untuk jadi sumber rujukan,” soal seorang rakan yang lain
“Perbincangan dalam usrah bukan hanya apa yang ada dalam modul atau buku agama. Kita boleh berbincang perkara lain. Lagi pun ramai juga yang banyak ilmu agama di sini.”
Mereka akhirnya bersetuju dengan cadangan saya. Maklumlah, budak KISAS. Nasib baik mereka tidak tahu apa yang saya buat semasa di KISAS dahulu.
Malam pertama usrah kami berjalan lancar dengan aktiviti suai kenal dan berbual-bual.
Tidak lama kemudian aktiviti kami itu dihidu oleh beberapa jurulatih. Nasib baik dalam masa dua minggu itu saya sudah menjalin hubungan baik dengan hampir kesemua jurulatih. Termasuk jurulatih daripada kompeni lain.
Malam kedua usrah kami, seorang jurulatih muda turut menyertai. Dia baru sahaja keluar daripada universiti. Perbincangan dalam usrah kami menjadi lebih menarik dengan kehadirannya. Dia kemudian kami lantik sebagai naqib kami.


Dan usrah kami memang tidak hanya berlangsung semasa di surau sahaja. Kadang semasa sedang bermain bola, duduk-duduk bosan pada waktu petang, pada waktu makan malam, dan bermacam tempat dan waktu lagi.
Inilah yang saya panggil sebagai ‘Usrah dimulakan dengan tasbih kafarah’. Dengar kata sekarang jurulatih muda itu bekerja sebagai penulis di majalah Gempak.
Dan bilangan ahli usrah kami juga bertambah. Cuma bilangannya tidak tetap kerana kami menganggap waktu usrah itu sekadar majlis perkongsian ilmu. Siapa hendak datang, dialu-alukan.
Begitulah saya berusaha menjaga diri saya semasa di PLKN. Kadang ada juga waktu hampir terpengaruh dengan perkara yang kurang baik, tapi pandai-pandai sendirilah.
Berjumpa rakan sekolah di PLKN
Kem PLKN kami merupakan antara kem terbaik seluruh Malaysia – Kem Perkasa, Mantin, Negeri Sembilan. Jadi, banyaklah kem lain datang bertandang ke kem kami.
Ada juga kem yang membuat perlawanan persahabatan dengan kem kami. Jadi sempatlah juga saya berjumpa dengan beberapa rakan sekolah lama. Ada yang dahulunya antara orang kuat BADAR semasa di KISAS.
Tetapi semasa kami berjumpa, ternyata dia sedikit berubah. Dia datang berdua bersama dengan seorang perempuan. Cerita seorang rakan lain mengatakan sudah beberapa kali dia keluar berdua-duaan dengan perempuan tersebut.
Dalam hati tertanya-tanya, ‘Mana semangat berkobar-kobar dia semasa di KISAS dahulu?’
Dan semasa di matrikulasi, kawan saya itu menjawat jawatan penting dalam jabatan yang mengendalikan usrah. Itulah yang sering saya nasihatkan kepada adik-adik di mana-mana sekolah agama semasa mengendalikan program, “Hiduplah sederhana yang mungkin. Takut nanti tergigit kata-kata sendiri.”

Usrah Cyber
Orang kata apabila kita berada di satu tempat yang sifatnya bertentangan dengan sifat kita, kita akan cuba melawannya. Cuma, takut-takut kita jadi seperti spring yang hilang dayanya akibat tidak terlalu kuat.
Begitu juga dengan di alam maya - dunia internet. Kita juga boleh wujudkan suasana usrah di sini. Susana perkongsian ilmu. Cuma jika tidak dijaga dengan betul, mungkin boleh timbul salah faham. Jika semua rasa pendapat masing-masing betul, tiada pendapat baru yang tercetus akan cuba difahami.
Berlapang dada dalam setiap perbincangan.

1 comment:

  1. Alhamdulilah...usrah itu sungguh best dan menambah keimanan kita...tahniah...semoga istiqamah meneruskannya..

    ReplyDelete